Hari Raya Aidilfitri disambut pada 1 Syawal tahun Hijrah. Ia juga dikenali sebagai Hari Raya Puasa, Hari Raya Fitrah atau Hari Lebaran. Aidilfitri yang bermaksud Hari Raya Fitrah, merupakan hari raya bagi kesucian manusia. Disebut juga sebagai hari kembalinya kesucian kepada kita. Kembalinya fitrah kepada kita dan kita pun harus tampil sebagai manusia suci dan baik, sebaik-baiknya kepada sesama manusia khususnya.
Hari Raya Aidilfitri ditentukan melalui dua cara iaitu melalui rukyah (melihat anak bulan) ataupun secara hisab (kiraan). Merukyah atau melihat anak bulan pada petang 29hb hijrah bagi menentukan sama ada keesokan harinya 30hb atau 1hb. Sekiranya anak bulan kelihatan di ufuk selepas matahari terbenam maka keesokan harinya dikira awal bulan baharu tetapi sekiranya tidak kelihatan maka bulan tersebut digenapkan menjadi 30hb. Di Malaysia dan negara MABIMS, sekiranya anak bulan tidak kelihatan berdasarkan kaedah rukyah maka kaedah Imkanul Rukyah akan digunakan bagi menentukan keesokan harinya 30 hb atau 1 hb. Kaedah Imkanul Rukyah adalah berdasarkan kepada kriteria berikut:
Umur anak bulan melebihi 8 jam ijtimak (bumi, bulan dan matahari berada segarisan).Ketinggian anak bulan di ufuk selepas matahari terbenam sekurangnya 2 darjah. Jarak Lengkung di antara pusat matahari dengan pusat bulan sekurang kurangnya 3 darjah. Di mana sekiranya anak bulan pada petang 29hb memenuhi kriteria Imkanul Rukyah maka keesokan harinya dikira sebagai awal bulan baru dan bulan tersebut menjadi 29 hb sahaja.
Sejarah Hari Raya Aidilfitri
Sebelum ajaran Islam diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW di kota Mekah, masyarakat Arab Jahiliyah memiliki dua hari raya, iaitu perayaan Nairuz dan Mahrajan. Kedua-dua perayaan ini merupakan tradisi yang berasal dari zaman Persia Kuno. Kaum Arab Jahiliyah menyambut perayaan itu dengan tarian iaitu tarian perang dan ketangkasan selain menyanyi di samping dijamu dengan makanan enak dan minuman memabukkan. Pada zaman itu setiap kaum mempunyai hari raya masing-masing.
Setelah turunnya kewajiban untuk menunaikan ibadah puasa Ramadan pada tahun 2 Hijrah. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah mengganti kedua hari raya itu dengan hari raya yang lebih baik, iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.” (Hadis Riwayat Daud dan Nasai)
Hari Raya Aidilfitri pertama kalinya dirayakan umat Islam selepas Perang Badar pada 17 Ramadan tahun ke-2 Hijrah. Dalam pertempuran itu, umat Islam meraih kemenangan walau 319 orang tentera Muslimin menentang 1,000 pasukan kafir Quraisy. Pada tahun itu, Rasulullah SAW dan para sahabat merayakan dua kemenangan iaitu kejayaan dalam Perang Badar dan kejayaan menewaskan hawa nafsu sepanjang sebulan berpuasa.
Antara amalan para sahabat Rasulullah SAW apabila bertemu di hari raya ialah mereka mengucapkan: “taqabbalallahu minna wa minka,” merujuk kepada Ibnu Hajar Al Asqalani dalam kitab Fathul Baari.
Lalu bagaimana jawapan untuk ucapan taqabbalallahu minna wa minkum?
Dalam riwayat sahabat dan salaful salih, jawapan bagi taqabbalallahu minna wa minkum adalah dengan doa yang sama iaitu taqabbalallahu minna wa minkum juga.
Pengertian Hari Raya Aidilfitri
Hari Raya Aidilfitri adalah anugerah yang Allah turunkan sebagai hadiah untuk umat Islam bukan sahaja sebagai ganjaran kemenangan dalam bentuk kesabaran fizikal tetapi kejayaan kerana berjaya menjinakkan hawa nafsu dalam bulan Ramadan secara spiritual. Seharusnya, umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan memperbanyakkan bertahmid dan bertasbih sebagai tanda bersyukur kepada Allah SWT di samping memenuhi masjid-masjid pada malam dan pagi hari raya dengan memuji Allah SWT dan bermaaf-maafan mengakui salah silap dan kelemahan diri. Menziarahi bagi meraikan golongan fakir miskin dan muallaf pada hari tersebut juga amatlah dituntut.
Untuk Tempahan Tempat & Pakej, Klik Disini
SUMBER:
Rabiatul Adaweeyah (2017), Pengertian Dan Sejarah Awal Hari Raya Aidilfitri. Retrieved from: https://tzkrh.com/pengertian-dan-sejarah-awal-hari-raya-aidilfitri/
Commentaires