Kredit Gambar: Lokalokal
Setiap kali sambutan Aidilfitri, selain dari ketupat, lemang dan rendang, biskut raya atau kuih raya pasti akan menjadi antara hidangan yang wajib yang mesti ada di atas meja untuk tetamu yang datang berkunjung atau berziarah raya.
Seiring dengan peredaran zaman, biskut raya juga mengalami pelbagai inovasi dari segi resipi dan cara pembuatannya.
Terdapat pelbagai jenis biskut raya yang dijual di pasaran sehinggakan kita menjadi rambang mata untuk memilih yang mana satu menjadi pujaan hati. Semuanya nampak begitu menarik dan berwarna-warni.
Ini antara beberapa jenis biskut ‘legend’ yang memang kebiasaannya akan menjadi pilihan hati dan paling mengimbau kenangan manis Aidilfitri kita. Boleh dikatakan setiap rumah pasti ada biskut wajib ini.
1) Samperit
Kredit Gambar: Youthnited.com
Datanglah macamana moden sekalipun biskut raya, namun tak akan dapat menandingi biskut yang satu ini. Generasi sekarang juga tahu akan kewujudan biskut ini.
Sekarang sudah ramai yang memodenkan biskut samperit. Ada samperit susu, samperit cheese, bukan setakat rasa, malahan warna dan corak juga telah diinovasikan mengikut kreativiti masing-masing.
Yang penting, bentuk asal samperit adalah kuntuman bunga dengan hiasan ceri merah adalah yang paling ‘legend’ dan sentiasa mengimbau kenangan.
2) Tart Nenas
Kredit Gambar: El Mundo Eats
Raya tak akan bermakna tanpa tart nenas. Ini antara biskut ‘berhantu’ yang menjadi pilihan utama tetamu sebelum menikmati juadah hari raya yang lain. Biskut yang tak pernah lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas ini sentiasa menjadi menu utama setiap rumah pada Hari Raya.
Dengan rasa tart nenas yang gebu, cair dimulut dengan isi nenas yang banyak dengan rasa masam manis pasti tak boleh berhenti jika kita menikmatinya. Hrmmmm sedapnya!
3) Almond London
Kredit Gambar: El Mundo Eats
Biskut ini antara yang sentiasa mendapat sambutan di Aidilfitri kerana ianya merupakan biskut yang paling digemari para tetamu walaupun namanya agak kebaratan namun realitinya Almond London sudah semestinya sentiasa menjadi biskut pilihan hati.
Dari orang dewasa sehinggalah kanak-kanak sangat menggemari biskut ini. Dengan rasa kacang badam yang dibaluti biskut dan rasa coklat di luar biskut membuatkan orang makan pasti akan menjilat jari.
4) Batang Buruk
Kredit Gambar: google
Ini antara kuih yang tak akan pupus ditelan masa. Kuih yang diperbuat daripada tepung gandum yang dicampur dengan tepung beras dan tepung kelapa ini dan disalut dengan serbuk kacang hijau tetap ada peminat setianya yang tersendiri. Anda pasti tak boleh berhenti makan, silap-silap boleh habis sebalang!
5) Cornflakes Madu
Kredit Gambar: HijabnHeels
Pergilah beraya ke rumah siapa pun, memang akan jumpa cornflakes madu di atas meja tuan rumah dan kebiasaannya memang terpaksa tambah berulang kali. Bukan setakat kanak-kanak tapi orang dewasa juga pasti tak boleh berhenti menjamahnya.
6) Kuih Ros
Kredit Gambar: FMT
Mungkin generasi sekarang tidak mengenali kuih ros tapi bagi generasi lama, kuih ini adalah nostalgia yang tak akan dilupakan. Kuih ros ini sentiasa menggamit kenangan manis dengan rasanya yang sedap dan rangup pasti membuatkan mulut tidak sedar sedang mengunyahnya. Krup Krap Krup Krap
7) Biskut Mazola
Kredit Gambar: HijabnHeels
Biskut yang padat dengan isi kacang tumbuk dan disapu dengan kuning telur di atasnya serta dihiasi dengan sebiji kacang ini memang sentiasa menjadi kegemaran semua orang. Biskut mazola sangat sesuai dijadikan juadah di hari raya anda.
8) Simpul Kasih
Kredit Gambar: Suara Perak
Simpul kasih adalah sejenis kuih yang cukup popular. Kuih ini sentiasa menjadi hidangan wajib di setiap rumah pada hari raya. Dengan menggunakan kulit popia yang nipis yang diisi dengan serunding sememangnya sangat sedap dan rangup apabila dimakan.
Ada yang jenis digulung dan ada yang disimpul. Terserah kepada kreativiti masing-masing. Korang suka yang mana? Yang penting, anda pasti tak boleh berhenti jika mulai makan kuih ini.
9) Rempeyek
Kredit Gambar: malaycari.com
Rempeyek adalah sejenis makanan yang diperbuat daripada tepung gandum dan ditambahkan dengan kacang tanah, kacang dal, kacang hijau atau ikan bilis. Bentuknya sangat menyerupai keropok. Ia antara kudapan yang sesuai disajikan pada hari raya. Rempeyek juga turut dinikmati walaupun bukan pada hari raya.
10) Kuih Kapit
Kredit Gambar: aec.my
Kuih kapit adalah hidangan penyeri di hari raya. Kuih kapit tradisional biasanya dilipat menjadi bentuk kipas atau digulung bulat tanpa sebarang isi di dalamnya. Namun dengan trend yang terkini, kuih kapit telah divariasikan dengan penambahan pelbagai perisa sebagai inti dalamnya seperti kuih kapit coklat, mentega kacang atau strawberi untuk menambahkan rasa yang lebih menarik.
11) Biskut Makmur
Kredit Gambar: daridapur.com
Biskut ini adalah biskut warisan dari zaman dahulu dan masih tidak lenyap ditelan zaman. Dengan menggunakan resipi yang ringkas dan senang seperti tepung gandum dan juga minyak sapi dan inti daripada kacang yang disangai dan dikisar halus, akhir sekali biskut makmur akan disalut dengan gula halus sebagai penaik seri.
Biskut makmur juga sedap dimakan kerana ianya manis dan cair didalam mulut. Pasti menjadi pelengkap jamuan!
Pasti anda tertelan air liur kan bila melihat biskut-biskut ‘legend’ ini? Tak sabar rasanya nak meraikan hari bahagia setelah sebulan berpuasa. Apa kata serikan meja anda dengan juadah-juadah menarik lagi legend dari mak mak kita dulu.
Untuk Tempahan Tempat & Pakej, Klik Disini
SUMBER:
Caera (2020), Jom Tengok Senarai Biskut ‘Legend’ yang Menjadi Juadah Hari Raya. Retrieved from: https://murai.my/2020/78922/jom-tengok-biskut-legend-yang-menjadi-juadah-hari-raya/
Comments