Komunikasi dua hala antara setiap agensi kerajaan amat penting bagi mempertingkatkan jaringan koordinasi untuk memudahkan tempoh pengurusan dalam tempoh yang singkat.
Ketua Menteri, Datuk Haji Sulaiman Md. Ali berkata, jaringan berkenaan seharusnya dipergiat dan dieratkan antara setiap agensi, malah ia selari dengan penekanan tonggak 5K yang terdapat dalam Misi pembangunan lestari Melaka berasaskan perkataan TERAS .
“Kita tidak boleh melakukan komunikasi sehala, jika masing-masing bekerja dalam persekitaran yang tetap seperti contoh kita bekerja di dalam sebuah rumah, seorang duduk di dapur, seorang duduk di bilik air, tetapi kita tak tahu sedangkan ada di bahagian serambi yang tidak baik.
“Malah, kita tak tahu yang serambi itu dimakan anai-anai, itulah perumpamaannya, jika komunikasi sehala berlaku, malah sesebuah institusi akan goyang, jika tiada penekanan komunikasi dua hala kerana mereka kurang berkomunikasi antara satu sama lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Amanat Ketua Menteri ‘Melakaku Maju Jaya’ di Grand Ballroom MiTC di sini, pagi tadi.
Pada masa sama, Sulaiman berkata, perkataan TERAS yang diperkenalkan adalah misi dalam Pembangunan Lestari Melaka yang merangkumi Teknologi, Entrepreneurship (Keusahawanan), Revolusi Industri dan Ekonomi, Antarabangsa dan Sejahtera.
“Sebanyak 17 Matlamat Pembangunan Lestari menjadi panduan untuk dilaksanakan Melaka, antaranya, kemiskinan tegar dan kelaparan sifar, kesihatan dan kesejahteraan, pendidikan, pekerjaan dan pembangunan ekonomi, infrastruktur serta memelihara dan memulihara kawasan lautan dan daratan.
“Melalui misi TERAS ini, penekanan tonggak 5K diperkenalkan kepada penjawat awam sebagai teras utama bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“5K yang diperkenalkan adalah merangkumi komunikasi, kolaborasi, koordinasi, kompetensi dan kongsi,” katanya.
Untuk Tempahan Tempat & Pakej, Klik Disini
SUMBER:
Faiz Hassan (2020), Komunikasi dua hala penting dalam misi T.E.R.A.S. Retrieved from: https://www.melakahariini.my/komunikasi-dua-hala-penting-dalam-misi-t-e-r-a-s/
Comments