top of page
Writer's pictureashikin@mitc.org.my

Sejarah Puasa Umat- Umat Terdahulu



Bulan Ramadhan pada tahun ini menyaksikan perbezaan yang ketara oleh kerana wabak virus Korona dan Perintah Kawalan Pergerakan yang masih dikuatkuasakan. Namun diharapkan agar Ramadhan yang tahun ini tidak dipersiakan kedatangannya oleh seluruh Umat Islam.


Satu hal yang menarik untuk dibicarakan berkenaan puasa adalah sejarah pensyariatan puasa itu sendiri. Umum diketahui bahawa puasa dalam Bahasa arab disebut sebagai “Siyam” yang bermakna meninggalkan. Manakala dari sudut istilahnya merujuk kepada perbuatan meninggalkan segala perkara yang boleh membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar hingga terbenamnya matahari disertai dengan niat. Puasa di bulan Ramadhan juga adalah suatu kewajipan kerana termasuk didalam 5 rukun Islam.


Puasa di bulan Ramadhan mula disyariatkan pada penghujung bulan Sya’ban tahun kedua Hijriah dan turun juga perintah untuk mengeluarkan zakat fitrah pada tahun yang sama menurut Ibnu Kathir. Pensyariatan puasa ialah apabila turunnya Firman-Nya yang bermaksud:


“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan keatas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.”

(Al-Baqarah:183).

Persoalan yang menarik adalah Allah menyebut bahawa diwajibkan berpuasa sepetimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum itu. Maka, adakah umat terdahulu sudah berpuasa?


Jawapannya ya. Al-Tabari menyebutkan bahawa puasa yang paling terawal adalah puasa Nabi Nuh As dan kaumnya setelah mereka telah selamat daripada banjir

besar yang telah menenggelamkan umat Nabi Nuh yang tidak beriman. Kemudian, Nabi Daud juga sudah berpuasa sejak dahulu lagi. Ini dapat dipastikan kerana Nabi Muhammad ﷺ bersabda yang maksudnya:


“Sebaik-baiknya puasa adalah puasa Daud, iaitu sehari berpuasa dan sehari berbuka.”

(HR Muslim: 1159).

Hamka juga menyebutkan di dalam Tafsirnya bahawa Nabi Musa juga pernah berpuasa 40 hari. Beliau turut menjelaskan bahawa Nabi Ya’kub dan Maryam iaitu ibu kepada Nabi Isa As juga sudah berpuasa. Maryam disebutkan berpuasa bukan dengan menahan diri daripada makan tetapi berpuasa dari bekata-kata. Firman-Nya yang bermaksud:


“Maka jika kamu melihat seorang manusia, katakanlah: ‘Sesungguhnya aku telah bernazar berpuasa untuk Tuhan Yang Maha pemurah, maka aku tidak akan berbicara dengan seorang manusia pun pada hari ini’.”

( Maryam: 26).

Inilah di antara contoh sejarah orang-orang terdahulu yang telah berpuasa sebelum zaman Nabi Muhammad ﷺ .Sesungguhnya disyariatkan berpuasa kepada Umat Islam adalah dengan tujuan seperti yang dinyatakan Allah dalam ayat tersebut iaitu menjadikan Umat Islam sebagai orang-orang yang bertaqwa.


Apabila berpuasa di bulan Ramadhan disyariatkan, maka kewajipan untuk berpuasa dilakukan oleh kaum Muslimin secara bertahap.


Pada fasa pertama pensyariatan puasa kaum muslimin boleh memilih sama ada hendak berpuasa atau tidak berpuasa. Sekiranya mereka tidak mahu berpuasa maka mereka harus membayar fidyah walaubagaimanapun berpuasa adalah lebih utama ketika itu. Ini bertepatan dengan apa yang disebut oleh Salamah bin Awka’i:

“Dahulu kami ketika di bulan Ramadhan pada zaman Rasulullah □, barangsiapa yang ingin berpuasa maka boleh berpuasa, dan barangsiapa yang ingin berbuka maka dia memberi makan seorang miskin, sehingga turun ayat Allah.

Kemudian sampai kepada fasa kedua barulah menjadi wajib untuk berpuasa apabila turun ayat berikutnya namun diberi pengecualian bagi beberapa keadaan. Firman-Nya:


(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan- penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang haq dan yang batil).

Kerana itu, barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah dia berpuasa pada bulan itu, dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkannya itu pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.

(Al-Baqarah: 185)

Pada permulaannya kaum Muslimin berpuasa adalah lebih lama daripada kebiasaan kita berpuasa kerana sejurus selepas mereka berbuka,mereka akan kembali berpuasa selepas menunaikan solat Isya’. Ada juga sahabat yang tertidur sebelum makan (berbuka puasa) atau sesudah menunaikan solat Isya’ maka dia hendaklah berpuasa iaitu tidak boleh makan, minum, dan bersetubuh sehingga hari berikutnya. Kemudian barulah turun ayat berikutnya yang membolehkan untuk makan dan minum serta bergaul dengan isteri hingga waktu fajar dan hendaklah menyempurnakan puasa daripada terbit fajar sehinggalah ke waktu terbenamnya matahari dalam surah Al-Baqarah ayat 187.


Kata Ibnu Kathir dalam tafsirnya, diperbolehkan untuk makan dan minum sehingga fajar adalah dalil disunnahkan untuk bersahur serta kita sangat dituntut untuk melakukan sunnah yang besar ini. Bahkan sahur tidak pernah ditinggalkan oleh baginda dan para sahabatnya.

Sabda Baginda ﷺ yang bermaksud:

“Bersahurlah kerana di dalam sahur itu adalah berkat.” (HR Bukhori: 1923)

Semoga puasa di Bulan Ramadhan kita pada tahun ini meskipun masih berada dalam keadaan yang bergolak ini akan menjadi sebaik-baik puasa. Juga diharapkan agar dapat memperbanyakkan amalan dan melupakan kemungkaran di bulan yang penuh barakah.


Untuk Tempahan Tempat & Pakej, Klik Disini


SUMBER:

1.Hamka, Tafsir Al-Azhar, Singapura:Pustaka Nasional, 1990. 2.Abu Fida Ismail Ibn Umar Ibn Kathit, Tafsir Ibnu Kathir.


3. Sarip Bin Abdul, Panduan Amalan Di Bulan Ramadhan, Putrajaya:JAKIM, 2015.

4. Sejarah Disyariatkan Puasa Ramadhan, Darul Ulum Ihya Ulumuddin, http://ulumnabawiahmakh.blogspot.com/2012/07/sejarah-disyariatkan-puasa- ramadhan.html

97 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page