Kredit Gambar: FMT
Serangan pandemik koronavirus (Covid-19) meninggalkan impak maksimum kepada rakyat Malaysia termasuk ramai yang hilang pekerjaan ketika dan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Bagaimanapun, bagi penyelidik ekonomi, sebenarnya matlamat pekerja dan majikan adalah sama iaitu mahu pekerjaan dan perniagaan dapat dikekalkan.
Majikan juga tidak boleh sewenang-wenangnya membuat keputusan terhadap pekerja ketika PKP walaupun melepaskan pekerja merupakan hak prerogatif majikan terbabit.
Pegawai Penyelidik Kanan Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan (EMAS) IKIM, Nur Shahidah Abd Jalil berkata, ini kerana PKP dilakukan berpandukan Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Menurutnya, ia termasuk membayar separuh gaji atau memaksa pekerja mengambil cuti tanpa gaji atau melepaskan mereka apabila premis perniagaan itu tidak boleh beroperasi kerana PKP.
Katanya, majikan masih boleh membuat tindakan sedemikian selepas berunding dengan pekerja masing-masing manakala pekerja tidak boleh sewenang-wenangnya menolak rundingan tersebut kerana kedua-duanya berada dalam keadaan tertekan.
"Boleh jadi kos penutupan operasi dan pengecilan operasi sangat tinggi buat majikan sehingga mereka tidak mampu lagi untuk menampung untuk memberikan gaji kepada pekerja.
"Selain daripada itu, kita kena tahu mengurangkan lebihan pekerja atau dalam erti kata lain kita melepaskan pekerja merupakan hak prerogatif majikan.
"Namun perlu ada alasan kukuh, tulen dan tertakluk kepada langkah-langkah mengelakkan pemberhentian seperti disebut dalam garis panduan pemberhentian pekerja oleh Kementerian Sumber Manusia," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel Wacana Siri 169 bertajuk Pasca PKP: Ramai hilang kerja? yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian semalam.
Selain Nur Shahidah, wacana tersebut turut menampilkan selebriti terkenal tanah air yang juga seorang ahli perniagaan, Norman Hakim manakala Azlan Shah Nabees Khan sebagai moderator.
Mengulas lanjut, Nur Shahidah berkongsi satu tinjauan dilakukan Jabatan Perangkaan Malaysia bertajuk Survey Khas Kesan Covid- 19 Kepada Ekonomi Pusingan Pertama dijalankan kepada lebih 168,000 responden berusia 15 ke atas.
Menurutnya, survey tersebut melibatkan majikan, pekerja swasta, pekerja syarikat kerajaan (GLC) dan pekerja syarikat multinasional namun pekerja kerajaan dikecualikan daripada kaji selidik tersebut.
Beliau berkata, laporan itu bukanlah satu kesimpulan rasmi atau konklusif namun berpandangan ia adalah satu tinjauan awal yang sangat menarik dapatannya yang ingin beliau kongsikan.
"Pertama sekali tentang simpanan, didapati bahawa dua pertiga atau lebih 70 peratus daripada responden yang bekerja sendiri hanya mempunyai simpanan kurang dari satu bulan (gaji) sahaja.
"70 peratus dan ke atas yang bekerja swasta pula mempunyai simpanan mencukupi hanya hingga dua bulan sahaja manakala pekerja GLC dan pekerja syarikat multinasional yang mempunyai pendapatan lebih lima peratus dari mereka boleh menyimpan sehingga tempoh empat bulan.
"Kita tanya diri kita di mana tempat kita dikategorikan. Maknanya secara umum kita masih lagi belum memenuhi saranan untuk mempunyai sekurang-kurangnya tabung kecemasan sehingga tiga hingga enam bulan," katanya.
Berdasarkan tinjauan tersebut juga katanya, didapati bahawa 46.6 peratus pekerja bekerja sendiri hilang pekerjaan berbanding pekerja swasta sebanyak 1.8 peratus dan majikan pun hilang pekerjaan sebanyak 23.8 peratus pada fasa pertama tempoh PKP.
"Kalau kita lihat data di Malaysia, individu bekerja sendiri pada 2018 seramai 2.9 juta orang daripada 14.7 juta penduduk iaitu lebih kurang 20 peratus.
"Daripada tinjauan awal ini walaupun belum lagi konklusif menunjukkan segmen individu bekerja sendiri adalah satu segmen yang perlu dilihat semula bagaimana impak erhadap mereka apabila hilang pekerjaan," katanya.
Dalam pada itu, katanya, tinjauan Malaysia Institut Of Economic Research pula menjangkakan keadaan terburuk berlaku ialah 24 juta bakal kehilangan pekerjaan namun dalam keadaan lebih baik mungkin hanya 951 ribu orang.
Menurutnya, pengangguran pula boleh dijangkakan akan bertambah seperti pengangguran geseren yang berlaku sebelum PKP iaitu pengangguran normal sedia ada.
"Ia bertambah akibat pengangguran kitaran yang berlaku ketika zaman kemelesetan dan pertambahan (jumlah pengangguran). Data itu menunjukkan majikan juga kehilangan kerja.
"Apabila majikan kehilangan kerja maksudnya tiada pekerja dan ini merupakan satu kesan berantai. Bagaimanapun kesimpulan ini masih belum konklusif sebagaimana kita tidak pasti tentang pengakhiran pandemik Covid-19 ini," katanya.
Bagaimanapun beliau menegaskan bahawa pekerja tidak akan kehilangan pekerjaan buat selamanya atau secara mutlak kerana keadaan akan kembali pulih dan segala kegiatan akan dapat beroperasi semula.
Untuk Tempahan Tempat & Pakej, Klik Disini
SUMBER:
BERNAMA
コメント