ashikin@mitc.org.my
May 10, 20203 min
Kredit Gambar: majalahnabawi.com
PENGERTIAN ZAKAT FITRAH
Zakat Fitrah ialah zakat diri yang difardhukan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan muslim yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang ditetapkan.
SYARAT WAJIB ZAKAT FITRAH
Orang Islam yang wajib mengeluarkan zakat fitrah untuk diri dan keluarga atau tanggungannya ialah:
Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya.
Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadhan dan hidup selepas terbenam matahari.
Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan dan berkekalan Islamnya.
Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadhan.
KAEDAH PEMBAYARAN ZAKAT FITRAH
Kaedah pembayaran zakat fitrah yang ditentukan ialah makanan asasi daripada jenis yang mengenyangkan. Perkara ini dijelaskan melalui hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudry bermaksud:
(Hadis riwayat Muslim)
KADAR ZAKAT FITRAH
Kadar fitrah ialah satu gantang Baghdad bersamaan 2.70 kg beras atau senilai dengannya. Kadar ini berdasarkan ketentuan oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri-Negeri.
WAKTU MENUNAIKAN ZAKAT FITRAH
Waktu menunaikan zakat fitrah terbahagi kepada 5:
1. Waktu Wajib
Apabila terbenam matahari akhir Ramadhan sehingga terbit matahari satu Syawal.
2. Waktu Afdal
Sebelum sembahyang Hari Raya
3. Waktu Sunat
Sepanjang bulan Ramadhan
4. Waktu Makruh
Selepas sembahyang hari raya sehingga terbenam matahari satu Syawal.
5. Waktu Haram
Selepas terbenam matahari satu Syawal.
BILAKAH PENSYARIATAN ZAKAT
Pendapat ulama yang sahih menyatakan bahawa zakat mula disyariatkan pada tahun kedua setelah Nabi SAW berhijrah ke Madinah tidak berapa lama sebelum puasa difardhukan.
Pendapat yang masyhur menurut Sunnah menyatakan bahawa zakat fitrah difardhukan pada tahun ke-2 Hijrah iaitu pada tahun yang difardhukan puasa Ramadan. Hal ini berdasarkan hadith Rasulullah SAW:
Dikemukakan di sini dua pendapat yang lain berkenaan tarikh pensyariatannya:
Ibn al-Athir memutuskan di dalam kitabnya al-Kamil fi al-Tarikh bahawa zakat telah difardhukan pada tahun kesembilan Hijrah. Sebahagian ulama telah menyokong pendapat yang diutarakan oleh Ibn al-Athir ini berdasarkan kepada kisah yang berlaku kepada Tha’labah bin Hatib antara lain disebutkan: Apabila diturunkan ayat berkaitan sedekah (zakat), maka Nabi SAW telah mengutuskan seorang amil seraya berkata: “Ini tidak lain kecuali jizyah atau saudara jizyah.” Jizyah telah difardhukan pada tahun ke-9 Hijrah, maka zakat juga difardhukan pada tahun yang sama.
Walau bagaimanapun al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan bahawa hadith yang dijadikan dalil itu adalah hadith dha’if dan tidak boleh dijadikan hujah.
Manakala Ibn Khuzaimah pula di dalam sahihnya berpendapat bahawa zakat telah difardhukan sebelum hijrah berpandukan kepada hadith Ummu Salamah ketika menceritakan kisah hijrah para sahabat Nabi SAW ke Habsyah. Pendalilan berdasarkan kepada hadith tersebut boleh dipertikaikan kerana solat dan juga puasa masih belum difardhukan lagi. Di dalam kitab Tarikh al-Islam dinyatakan bahawa zakat difardhukan pada tahun Pertama Hijrah.
HIKMAH ZAKAT FITRAH
Berkenaan dengan hikmah zakat fitrah, telah dinyatakan dalam sebuah hadith daripada Ibn Abbas R.Anhuma katanya:
Secara umumnya, zakat fitrah berfungsi sebagai:
Menyucikan dosa bagi yang berpuasa.
Memberi makan kepada golongan miskin.
Menampal kekurangan puasa.
Mensyukuri kepada Allah SWT kerana sempurnanya Ramadhan.
Bersyukur kepada Allah SWT atas kurniaan cukup setahun dalam keadaan selamat.
Memberi kegembiraan kepada orang yang lapar pada hari raya.
Menyuburkan kasih sayang di kalangan mereka dan lain-lain.
Semoga kita menjadi golongan yang menunaikan zakat dan seterusnya mendapat keredhaan Allah SWT dan keberkatan rezeki dengan sebab berzakat. Amin.
Untuk Tempahan Tempat & Pakej, Klik Disini
SUMBER:
SOALAN 63 (23 RAMADAN 1436H BERSAMAAN 10/07/2015), Hikmah Zakat Fitrah. Retrieved from: https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/edisi-ramadhan/1932-hikmah-zakat-fitrah
Pengertian Zakat Fitrah. Retrieved from: https://www.zakatselangor.com.my/info-zakat/zakat-kewajipan-berzakat/zakat-fitrah/
SOALAN 53 (21 RAMADAN 1436H BERSAMAAN 08/07/2015), PENSYARIATAN ZAKAT. Retrieved from: https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/edisi-ramadhan/1981-pensyariatan-zakat